Pages

Sunday, November 7, 2010

Isu Pembuangan Bayi

Hampir setiap hari, kita disajikan dengan berita pembuangan bayi dalam media arus perdana. Hal ini amat membimbangkan banyak pihak kerana isu ini akan membawa kehancuran terhadap sesebuah negara.

            Antara punca berlakunya isu pembuangan bayi adalah kurangnya kefahaman agama di kalangan masyarakat secara menyeluruh terutamanya dalam kalangan remaja. Apabila didikan agama tidak ada, dirangsang pula dengan gambar-gambar lucah dan mengghairahkan yang mudah didapati dalam media elektronik dan bahan-bahan cetak, dengan sendirinya anak muda akan mudah terjebak dalam melakukan gejala tidak sihat ini. Seterusnya, ada yang mengatakan malu menjadi faktor utama dan biasanya kerana hasil hubungan yang tidak sah yang mengakibatkan mereka membuang bayi mereka. Hal ini kerana remaja yang terlalu ghairah, tidak dapat mengawal shahwatnya lantas melampiaskannya melakukan zina, dan menghasilkan anak luar nikah.

            Bayi merupakan anugerah Tuhan yang paling berharga kepada pasangan suami isteri tetapi bayi juga menjadi bebanan kepada pasangan-pasangan kekasih yang telah terlanjur dan tidak bersedia memikul tanggungjawab di usia yang masih mentah iaitu usia remaja. Akibat daripada tiada perikemanusiaan, bayi-bayi ini mati akibat daripada perbuatan yang dilakukan oleh manusia yang tidak mempunyai hati nurani kerana bayi-bayi ini dibuang di tempat yang tidak sepatutnya diduduki oleh bayi yang masih lemah dan kecil, misalnya dibuang di tandas, rumah kosong, sungai, longkang, tong sampah atau rumah ibadat.

            Remaja yang membuang bayi lazimnya terdesak oleh perasaan malu yang dikhuatiri boleh menconteng arang ke muka keluarga. Oleh itu, pihak berkuasa menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat, misalnya perlu menubuhkan pusat-pusat jagaan untuk ibu-ibu muda yang mengandung. Pusat ini boleh berfungsi sebagai tempat remaja berkenaan mengadu dan mendapatkan bimbingan. Dengan cara ini, nyawa bayi tidak berdosa boleh diselamatkan. Di samping itu, ibu-ibu yang mengandung ini boleh menebus dosa mereka dengan menjadi ahli masyarakat yang berguna.

            Kesimpulannya, semua pihak hendaklah memainkan peranan mengatasi masalah ini. Jangan jadi seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Tidak ada pihak yang boleh berlepas tangan dan menunding jari antara satu sama lain malah hendaklah bersatu bagi masalah isu buang bayi.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...