Pages

Sunday, November 7, 2010

Sinopsi : Bagaikan Puteri (Ramli Awang Murshid)

Novel Bagaikan Puteri karya Ramli Awang Murshid bertemakan kasih sayang dan cinta antara dua insan yang berlainan zaman iaitu di antara Haryani dan juga Saifudin yang lebih dikenali sebagai Laksamana Sunan dalam zaman menentang manusia-manusia penyembah syaitan yang berleluasa tanpa kawalan. Perhubungan mereka bermula apabila Haryani diselamatkan oleh kapal yang dinaiki oleh Laksamana Sunan ketika dalam pelayaran ke tanah jajahan Sultan Sulu dan seterusnya berkembang menjadi sebuah ikatan persahabatan yang membawa kepada bibit-bibit percintaan.

            Persoalan yang terdapat dalam novel ini adalah bantuan daripada makhluk ghaib selain Allah s.w.t. Ramai manusia pada ketika itu menghambakan diri kepada makhluk ghaib laknatullah iaitu syaitan. Manusia seperti Nyi Burga Kelara dan Maharani Pulau Utara merupakan antara manusia-manusia yang terpengaruh dengan tipu daya syaitan yang mahu menyesatkan manusia. Seterusnya golongan yang menyerahkan diri kepada Allah s.w.t. semata-mata. Wali Sufi, Laksamana Sunan dan Sadik menghambakan diri kepada Allah s.w.t sepenuhnya tanpa terpedaya dengan tipu daya syaitan dan meminta pertolongan hanya kepada-Nya. Selain itu, percintaan yang melangkaui batas masa iaitu Haryani dan Laksamana Sunan saling mencintai tetapi tidak dapat disatukan lantaran perbezaan masa mereka iaitu Haryani manusia enam abad ke hadapan.

            Laksamana Sunan, iaitu Saifudin berperwatakan warak, taat pada suruhan agama dan patuh pada perintah Allah s.w.t. Saifudin pernah melarikan diri dari Kampung Punggor ke Tanah Jawa membawa hati yang lara akibat dihukum oleh ayahnya sendiri atas kesalahan yang tidak pernah dilakukannya. Saifuddin diasuh oleh Wali Sufi menentang kejahatan syaitan bertopengkan manusia dalam usaha melakukan amar makruf nahi mungkar. Manakala Haryani yang merupakan watak sampingan dalam novel ini seorang remaja yang manja dan merupakan anak tunggal dalam keluarganya. Dia seorang yang periang dan ramah serta suka bersama-sama rakannya menonton wayang. Walau bagaimanapun, dia meminta bantuan daripada Laksamana Sunan dalam menjalani kehidupan pada abad ke 15 yang berbeza dengan kehidupan pada zaman asalnya.

            Teknik plot dalam novel ini menggunakan cara            rentas zaman iaitu roh Haryani diceritakan telah mengembara ke abad 15 dan telah bertemu dengan Laksamana Sunan. Permulaan novel ini mengisahkan pertempuran antara Laksamana Sunan dan Djailuh menentang Beragas. Seterusnya perkembangan pula semasa pertempuran antara Nyi Burga Kelara dan Laksamana Sunan di perairan Laut China Selatan selepas bahtera Juragan belayar dari Tanah Jajahan Sultan Sulu. Perumitan cerita ini dilihat apabila Sultan Melaka menitahkan Hang Tuah untuk membunuh Laksamana Sunan atas dasar kemahsyuran negeri Melaka. Kemuncak cerita ini memperlihatkan Laksamana Sunan akhirnya ditikam dengan sebatang lembing sihir oleh Ratu Sulaman yang mengakibatkan dia cedera parah oleh kuasa sihir. Peleraian novel ini pula apabila Dani menghantar poskad kepada Haryani yang pada ketika itu tsunami melanda Aceh iaitu 26 Disember 2005.

            Gaya bahasa yang digunakan dalam novel ini menggabungkan bahasa istana, iaitu semasa di istana Sultan Melaka ketika Laksamana Sunan menghadap Sultan Melaka. Seterusnya penggunaan bahasa moden dan bahasa Inggeris yang digunakan oleh Haryani semasa pada abad ke 15. Dalam pada itu, bahasa Jawa turut digunakan hampir sepenuhnya dalam novel ini kerana watak utama menggunakan bahasa Jawa walaupun berasal dari Tanah Melayu.

            Nilai yang terdapat dalam novel ini adalah kasih sayang yang diperlihatkan oleh Laksamana Sunan yang tetap berdakwah terhadap musuhnya walaupun tahu yang mereka tidak akan mengikut apa yang diperkatakan. Seterusnya nilai kerjasama di antara Djailuh dan Laksamana Sunan menentang manusia bertopengkan syaitan dengan sepenuh hati memastikan musuh-musuh Allah ditentang habis-habisan. Selain itu, sifat hormat-menghormati turut diperlihatkan oleh Laksamana Sunan mengikut suruhan dan saranan Wali Sufi untuk menghantar Haryani pulang ke zaman asalnya.

            Pengajaran yang saya peroleh adalah kita jangan sekali-kali terpengaruh dengan hasutan syaitan. Nyi Burga Kelara telah terpengaruh dengan hasutan syaitan menyebarkan kejahatan dan menyesatkan manusia lantaran tidak mempunyai pegangan agama yang kuat. Selain itu, kita wajib mentaati perintah dan larangan agama seperti mana yang diamalkan oleh Laksmana Sunan yang masih berunding kemaafan dengan setiap musuh yang menentangnya. Dalam di samping itu, kita hendaklah menjaga kasih sayang kita pada agama di tempat yang teratas sekali. Hal ini dapat dirasai kerana Laksamana Sunan lebih mementingkan rasa cintanya hanya pada Yang Maha Kuasa berbanding rasa cintanya terhadap manusia.

            Kekuatan novel ini adalah pada kebijaksanaan penulis menggunakan teknik merentasi sempadan masa. Dua watak utama yang datang dari dua kurun yang berbeza ditemukan, membuatkan pembaca akan terus teruja untuk mengetahui kisah selanjutnya. Debaran Bagaikan Puteri bermula apabila Hasanal, kenalan papa Haryani menghadiahkan sebuah mushaf lama yang dibelinya daripada seorang rakan. Pada bahagian bawah mushaf tersebut tertulis "Kamu bagaikan puteri... Haryani". Keluarga Haryani agak terperanjat dengan tulisan itu dan bertanyakan kepada Haryani kalau dia ada kaitan dengan mushaf tersebut. Selain itu, Haryani telah bertemu dengan Saifudin ketika dia dalam keadaan koma akibat kecederaan ketika terjatuh semasa diragut. Roh Haryani terperangkap dalam kurun ke-15. Seterusnya, Haryani sedar daripada koma ketika sudah dikebumikan. Haryani disahkan mati oleh doktor yang merawat beliau kerana sepanjang tempoh koma, Haryani tidak menunjukkan reaksi positif untuk kembali sedar. Suara tangisan Haryani dari dalam kubur didengari oleh Dani.

Novel ini mengisahkan Laksamana Sunan yang bertemu dengan Haryani yang berbeza zaman mereka. Pertemuan mere terjadi apabila roh Haryani terperangkap pada abad ke 15 semasa dalam keadaan koma selepas terjatuh akibat diragut. Bermula dengan pertemuan pertama itulah, Haryani jatuh cinta dengan Laksamana Sunan yang membuatkannya mahu terus tinggal pada abad ke 15 bersama-sama Laskamana Sunan. Namun, Haryani terpaksa dihantar pulang ke abad 21 kerana Laksamana Sunan terpaksa membunuhnya akibat Nyi Burga Kelara telah menjangkiti Haryani lantas menamatkan sumpahan manusia penyembah syaitan itu semasa pertarungannya dengan Laksamana Hang Tuah. Seterusnya, Sadik telah datang dari Tanah Jawa untuk menyampaikan amanat almarhum Wali Sufi mereka yang mahukan Laksamana Sunan berkhidmat di sana menentang kejahatan. Sekembalinya ke Tanah Jawa, Laksamana Sunan bertarung dengan Ratu Sulaman, anak asuhan Maharani Pulau Utara. Laksamana Sunan tertewas dalam pertarungan tersebut.

Kesimpulannya, setiap manusia janganlah terpengaruh dengan setiap hasutan syaitan yang bermuka manusia kerana mereka sememangnya berencana jahat mahu menyesat dan melakukan kerosakan di muka bumi ini agar akidah manusai terpesong daripada jalan yang lurus disebabkan janji iblis laknatullah terhadap Allah untuk menyesatkan manusia dan seterusnya membawa lebih ramai manusia bersama mereka di dalam neraka di akhirat kelak. Seperti kata pepatah; “beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis.”


         986 patah perkataan
     MUHAMMAD BIN MD YAZED
SKK SMK GHAFAR BABA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...